Saturday, March 27, 2010

SEJARAH PENUBUHAN


Pada tahun 1944 terdapat di kalangan penduduk di Chabang Empat dan Kampung Periok yang telah sedar betapa pentingnya pelajaran formal diberikan kepada anak-anak mereka . Semangat dan kesedaran ini mula dibangkitkan oleh seoang mata-mata yang
pada masa itu bertugas di Balai Polis Chabang Empat yang bernama Encik Sulaiman atau dikenali Pak Man. Beliau berasal dari Kampung Chetak , Pasir Mas. Lanjutan daripada cadangan yang dibangkitkan itu , Encik Senik bin Salleh iaitu seorang yang berpengaruh dan disegani di kalangan penduduk kedua-dua kampung tersebut telah berjaya mendirikan sebuah bangsal sebagai tempat kanak-kanak belajar. Bangsal ini
didirikan secara bergotong-royong dan dapat memuatkan seramai 30 orang murid.Peringkat permulaan ini murid-murid terdiri daripada pelbagai peringkat umur.
Gurunya ialah Encik Hashim bin Sulaiaman , anak kepada mata-mata Sulaiman
 

Sambutan orang terhadap sekolah tersebut begitu menggalakkan. Oleh itu pada
pada tahun 1945 , dengan.daya usaha Encik Sulaiman dan orang-orang kampung, bangsal
sekolah ini dipindahkan ke Kampung Bendang. Murid-murid bertambah menjadi 50
orang dan masih lagi dengan seorang guru. Keadaan yang mencabar ini dihadapi oleh Cikgu Hashim dengan tabah. Sumbangan kepada guru pada masa itu ialah beras dan wang mengikut kemampuan masing-masing.
 

Penduduk di sekitar Chabang Empat pada masa itu semakin sedar tentang pentingnya pelajaran kepada anak-anak. Oleh sebab situasi dan lokasi sekolah itu dirasakan kurang sesuai ,dalam satu mesyuarat yang diadakan di rumah Penghulu Senik bin Sulong , mereka telah bersetuju untuk memindahkan bangunan sekolah itu ke kawasan yang lebih sesuai di Chabang Empat. Dengan usaha gigih Penghulu Senik dan ahli-ahli jawatankuasa, maka tanah seluas empat ekar berjaya dibeli untuk dijadikan tapak sekolah yang baru. Pada tahun 1947 , sebuah bangunan yang bertiangkan batang nibung, berdindingkan buluh dan beratapkan sagu didirikan secara bergotong-royong. Bangunan ini mempunyai empat bilik darjah . Sekolah ini dinamakan Sekolah Rakyat. Pada tahun 1948 murid-murid meningkat kepada hampir 100 orang ,dan guru bertambah menjadi empat orang. Keadaan ini telah mendapat perhatian pihak Pejabat Pelajaran Kelantan dan dengan itu sekolah in telah diberi taraf separuh kerajaan . Pada tahun itu juga sebuah bangunan sekolah lagi ditambah yang juga didirikan secara bergotong-royong. Bilik darjah bertambah menjadi enam bilik, manakala alat-alat kelengkapannya disediakan oleh orang-orang kampung.
 

Pada tahun 1950 sekolah ini diterima penuh oleh kerajaan dan dibri nama Sekolah Melayu Chabang Empat. Muridnya meningkat menjadi 160 orang. Guru Besarnya ialah Hj Mohammed bin Abdul Rashid manakala gurunya ditambah kepada enam orang.
 

Memandangkan kemajuan dan pertambahan murid-murid yang begitu menggalakkan , Ahli-ahli Jawatankuasa Sekolah telah mengambil keputusan untuk memperluas lagi kawasan sekolah ini. Cadangan ini mendapat persetujuan dan sokongan
 
 

serta kerjasama daripada orang ramai khususnya ibu bapa murid-murid. Tanah berham-
piran seluas 1 ½ ekar berharga $300.00 telah dapat dibeli dalam tahun 1950 . Kerja-kerja mencuci semak-samun dan tunggul kayu dibuat oleh murid-murid sendiri.
 

Pada tahun 1952 kerajaan telah meluluskan sebuah bangunan sekolah separuh kekal sepanjang 300 kaki, yang terdiri daripada 6 bilik darjah, 1 bilik guru dan satu ruang pejabat bersama bilik Guru Besar.Bilangan murid semakin bertambah dari setahun ke setahun yang membuktikan sekolah ini semakin maju dan mendapat sambutan. Ahli jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Penghulu Senik bin Sulong telah menyumbangkan tenaga dengan penuh kerelaan untuk memajukan sekolah. Mereka bertungkus-lumus memungut derma daripada orang ramai untuk mendirikan pagar di sekeliling kawasan sekolah. Hasil daripada pungutan derma orang ramai serta kutipan daripada persembahan Mak Yong, Tinju Siam, Wayang Kulit dan sebagainya akhirnya dalam tahun 1955 pagar itu dapat disiapkan.
 

Kemajuan dan pertambahan murid-murid sudah menjadi kenyataan. Bilik-bilik darjah mula mejadi sesak. Pada tahun 1970 Persatuan Ibu Bapa Guru yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Mohd Said b Haji Ideris telah berusaha untuk mengadakan dua bilik darjah lagi. Pada tahun 1972 PIBG sekali lagi telah berjaya menyediakan dua bilik darjah tambahan iaitu didirikan dengan secara gotong-royong. PIBG meneruskan usaha mereka untuk mendapatkan bangunan baru dengan mengadakan rundingan demi rundingan dengan Pejabat Pelajaran Kelantan. Akhirnya , pada tahun 1978 kerajaan telah mendirikan sebuah banguanan baru 2 tingkat yang mengandungi 11bilik darjah, 1 Bilik Guru dan pejabat. Atas desakan PIBG seterusnya , Alhamdulillah akhirnya pada tahun 1998 sebuah bangunan baru 3 tingkat mula didirikan dan dapat digunakan pada tahun 1998 sehinggalah ke hari ini, yang pada keseluruhannya terdiri daripada 28 bilik darjah dan dapat menanpung lebih kurang 1000 orang murid.
 

No comments:

Post a Comment